BRUNEI ENAK!

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on March 09, 2018 with No Comments

Sajian istimewa Minggu Gastronomi Brunei.

01

01
Picture 1 of 4

 

Dengan kejayaan Minggu Gastronomi Brunei pada tahun lepas, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan sekali lagi telah menganjurkan Minggu Gastronomi Brunei 2018 bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 yang berlangsung dari 23 Februari hingga 11 Mac, 2018.

Acara yang menyasarkan pengunjung tempatan serta pelawat dari luar negara yang berada di negara ini telah menyaksikan hotel dan restoran di seluruh Brunei, termasuk syarikat penerbangan, Persatuan Ejen Pelancongan, Persatuan Hotel-hotel Brunei, sekolah-sekolah perkhidmatan serta sektor swasta turut serta untuk mempromosikan kemahiran memasak serta hidangan kegemaran Brunei.

Di Radisson Hotel Brunei Darussalam pula, satu menu eklusif telah dicipta khas khusus untuk Minggu Gastronomi Brunei tahun ini yang bertemakan makanan yang dibalut atau dibungkus dengan daun pisang. Daun pisang merupakan suatu bahan yang mudah ditemui di Brunei dan sekitar Asia Tenggara, dan ia sering digunakan untuk meningkatkan serta menambahkan lagi profil perisa kepada makanan, baik manis atau savuri. Makanan yang dibalut atau dibungkus dengan daun pisang kemudiannya akan disalai, dikukus, dibakar atau dipanggang, langsung menyelerakan lagi makanan dengan aroma dari dedaun. Cara masakan ini juga mengekalkan kelembapan, tekstur dan menambahkan rasa lebih enak kepada makanan.

Masakan dan makanan Brunei yang biasanya dibungkus atau dibalut dengan daun pisang adalah termasuk Pais Daging, Pais Udang dan Pais Ikan. “Pais” merupakan suatu perapan untuk daging atau makanan laut yang kebiasaannya dibuat dengan ramuan aromatik bawang putih, bawang merah dan cili serta dibumbui dengan daun kunyit. Bungkusan kemudiannya akan dibakar, dipanggang atau dikukus.

Di Minggu Gastronomi Brunei, para tetamu yang menjamu selera di Radisson Hotel telah menikmati pelbagai sajian hidangan ikan dan daging yang telah disediakan dengan menggunakan daun pisang. Di samping itu, Chef Eksekutif Devesh Debral dan pasukan kulinari Radisson telah meningkatkan beberapa hidangan tempatan untuk memperkenalkan suatu pengalaman gastronomi baru bagi pengunjung. Ini termasuk Daging Kunyit Kedayan, Ayam Kunyit “Ballotine” dalam Bungkusan Kubis dengan Bebola Nasi bermentega serta kacang panjang Fricassee, dan Rendang Daging Tenderloin Angus dengan nasi lemak bergulung, acar timun, kacang tumbuk serta sambal belacan.

Manisan dan pencuci mulut juga telah dipertingkatkan supaya lebih sofistikated. Kek Batik, suatu manisan kegemaran pada sambutan Hari Raya yang kebiasaannya dibuat dengan biskut teh dan adunan malt, diberi sentuhan ‘Radisson’ dengan pilihan biskut Oreo dengan kek Red Velvet dan perisa pandan. Kuih Badak Berendam, bebola beras pulut berinti gula melaka yang bermandikan santan lemak masin, juga dipertingkatkan dan dihidang ala Radisson berinti sirap butterscotch dan dihiasi dengan mousse santan kelapa.

Jelas sekali Minggu Gastronomi Brunei kali ini telah berjaya meraikan dan menjanakan kesedaran pelbagai jenis rasa hidangan serta sajian masakan tradisi Brunei. Iainya juga telah mengetengahkan hidangan beberapa kumpulan etnik dari keempat-empat daerah Brunei yang telah menambahkan lagi daya tarikan penggemar gastronomi tempatan.

Selain The Radisson Hotel Brunei Darussalam, turut ikut serta dalam Minggu Gastronomi 2018 kali ini termasuk Penerbangan Diraja Brunei, Royal Brunei Catering, Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, The Brunei Hotel, The Empire Hotel and Country Club, The Rizqun International Hotel, V-Plaza Hotel dan Sumbiling Eco Village.

No Comments

There are currently no comments on BRUNEI ENAK!. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment