DESTINASI IDAMAN

Written by support. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on March 22, 2015 with No Comments

01

01
Picture 1 of 10

Negara Brunei Darussalam untuk percutian halal terulung.

Teks ANIS RAMLI
Imej DAVID KIRKLAND/BRUNEI TOURISM

Pelancongan Halal kini semakin hangat diperkatakan dalam industri pelancongan. Segmen pelancongan Muslim dianggarkan bernilai AS$140 bilion dollar pada tahun 2013, mewakili hampir 13 peratus perbelanjaan pelancongan dunia. Negara Brunei Darussalam adalah salah sebuah negara yang kini semakin menonjol dalam menceburi segmen pelancongan halal. Dengan umat Islam seramai 1.8 billion orang di seluruh dunia dan berpotensi membelanjakan AS$181 bilion menjelang tahun 2018, Brunei semestinya akan meraih untung menembusi pasaran lumayan yang semakin berkembang ini.

Dengan reputasi sebagai sebuah negara Islam yang dikenali di seluruh dunia, kebanyakkan produk dan perkhidmatan pelancongan Brunei sudahpun menepati Syariah manakala yang lain kini dalam proses mengambil kira kehendak dan keperluan unik pelancong beragama Islam.

Pendek kata, Brunei dengan mudah merupakan pilihan destinasi yang menarik, bukan sahaja buat pelancong Muslim malah sesiapa sahaja yang berminat untuk melawat sebuah negara Islam yang moden dan toleran.

Masjid-masjid indah yang agung dengan rekabentuk unik bercirikan budaya dan senibina tempatan boleh ditemui dengan mudah di seluruh negara ini. Masjid-masjid yang lebih besar dan terkenal, seperti Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, juga menawarkan lawatan berpandu kepada pelancong Muslim dan juga mereka dari agama lain untuk mengenali sejarah dan senibinanya. Terletak di tengah-tengah ibu negara Bandar Seri Begawan, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin merupakan titik tolak terbaik untuk para pelancong memahami kedudukan Islam dalam konteks kebudayaan tempatan serta peranannya dalam kehidupan masyarakat setempat.

Pelancongan halal tidak terbatas kepada lawatan di masjid sahaja. Sebagai destinasi yang mesra Islam, Brunei mengambil kira faktor-faktor pelancongan lain dalam abad ke-21, namun masih tetap berasaskan Al-Qur’an serta ajaran Sunnah. Semua hotel tempatan menyediakan panduan arah Kiblat dan sejadah, serta ada yang menyediakan kitab suci Al-Qur’an. Malah peti sejuk dalam semua bilik hotel juga bebas dari sebarang minuman keras.

Panduan waktu solat terkandung dalam semua penerbitan tempatan untuk memudahkan orang ramai menjalankan ibadat. Muhibah, majalah dalam Penerbangan DiRaja Brunei yang berprestij, disediakan untuk semua tetamu hotel-hotel mewah dan turut mengandungi panduan waktu solat untuk rujukan mudah. Surau ada disediakan di semua tarikan pelancong utama. Dan semua syarikat pemandu pelancong yang beroperasi di Brunei juga peka pada waktu solat untuk kemudahan para pelancong Muslim menjalankan ibadat.

Pada setiap hari Jumaat, hari yang mulia dalam Islam, semua perniagaan akan tutup ketika waktu solat Jumaat sebagai tanda hormat. Ini termasuklah restoran dan kedai-kedai makan lain (namun tetamu hotel tetap dibenarkan membuat pesanan ke bilik), sekaligus memberikan para pelancong satu lagi pengalaman unik tentang amalan umat Islam Brunei dalam menjalankan ibadat seharian.

Tidak kira di restoran mewah atau di tepi jalan, makanan halal boleh diperolehi di mana-mana sahaja di seluruh negara dan pilihannya luas dan menyelerakan. Semua restoran makanan segera dan francais antarabangsa juga memiliki pensijilan halal. Pengunjung Muslim yang melawat negara ini ketika bulan Ramadhan akan mudah mencari tempat-tempat untuk berbuka puasa serta dapat mengunjungi bazar Ramadhan. Hotel-hotel utama turut menyediakan santapan sahur, manakala hidangan iftar yang ditawarkan pula sememangnya sesuatu pengalaman tersendiri yang tidak boleh dilepaskan.

Bagi mereka yang meminati budaya dan sejarah tamadun Islam, tentunya Brunei akan dapat menyemarakkan lagi minat mereka ini. Negara ini begitu kaya dengan ciri-ciri sejarah Islam. Para pengunjung akan dapat mengalaminya apabila melawat Kampong Ayer yang tersohor. Perkampungan rumah air di Sungai Brunei ini telah lama dianggap sebagai tapak di mana lahirnya tamadun Brunei. Di sinilah tempat di mana Islam mula bertapak di Brunei, dan ia juga salah satu pelabuhan penting untuk kapal-kapal dagang yang menyusuri Selat Melaka.

Para pedagang Arab yang mengunjungi kepulauan Melayu untuk mencari rempah ratus menjadikan Brunei salah satu pelabuhan yang wajib disinggah. Kesan peninggalan dagangan mereka dapat dilihat dalam budaya tempatan Brunei sehingga ke hari ini. Rempah ratus yang sama bukan sahaja digunakan dalam masakan tempatan, malah juga digunakan untuk pelbagai terapi tradisional yang unik di Brunei dan juga rantau Asia Tenggara. Para pengunjung boleh memanjakan diri dengan melawat spa di hotel-hotel utama di negara ini yang mengenengahkan rempah-rempah dagangan sama dalam pelbagai jenis rawatan yang menenangkan.

Ini juga masa terbaik untuk para pelawat mengenali kedai-kedai kopi tempatan, juga dikenali sebagai ‘kopitiam’. Kedai-kedai ini menghidupkan kembali nostalgia kedai-kedai kopi kecil yang popular dalam tamadun-tamadun Islam awal.
Di mana dahulunya biji kopi dikunyah oleh mereka yang menjalankan ibadah di waktu malam, Brunei telah mengambil konsep kopi ini dan menyetempatkannya dengan citarasa tersendiri.

Terdapat pelbagai pilihan tarikan perdana lain untuk diterokai para pelancong, seperti Bangunan Alat Kebesaran Diraja, Museum Brunei dan Taman Negara Ulu Temburong.

Cukup mudah untuk merancang percutian yang menepati Syariah di Brunei. Dari syarikat penerbangan, hingga ke hotel-hotel, serta perniagaan tempatan, kehidupan harian di negara ini sememangnya sudah berpaksikan ajaran Islam. Sebagai contoh, Penerbangan DiRaja Brunei merupakan satu-satunya syarikat penerbangan di rantau Asia Tenggara yang tidak menawarkan minuman keras. Inilah antara sebab utama mengapa negara ini dalam kedudukan terbaik untuk menakluk pasaran pelancongan halal dan terus kekal antara destinasi utama yang menjadi pilihan pelancong Muslim dari seluruh dunia.

 

No Comments

There are currently no comments on DESTINASI IDAMAN. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment