JEJAK PENUH NIKMAT

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on July 01, 2016 with No Comments

Menunaikan fardhu Haji: Kemuncak jelajah kerohanian setiap Muslim.

Teks ANIS RAMLI
Imej RAJA MOHD FIRDAUS BIN RAJA ALJUNID

01

01
Picture 1 of 7

 

Pakaian berwarna putih untuk menunaikan fardhu Haji tidak merupakan perkara wajib. Mungkin warna ini menjadi pilihan kerana ia melambangkan kesucian, ataupun kerana warna putih begitu simbolik memulakan hidup baru seseorang. Pastinya, menunaikan fardhu Haji adalah ibadah kemuncak dalam hidup setiap Muslim. Pada musim Haji, suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sibuk dengan ratusan jemaah Haji dan kaum keluarga yang turut serta menghantar mereka ke tanah suci.

Ini menjadi lumrah setiap musim Haji.

Para jemaah Haji akan menaiki penerbangan khas ke Jeddah. Selepas diproses di Jeddah, jemaah Haji akan menunggu giliran untuk dibawa menaiki bas ke Madinah. Penantian di terminal Haji khas ini agak memenatkan – antara satu hingga 12 jam. Namun bagi jemaah Haji yang tiba dari seluruh dunia, penantian ini hanya salah satu dari dugaan ke atas kesabaran; jihad kecil ke atas Tetamu Allah, gelaran bagi mereka yang menunaikan fardhu Haji.

Berjuta Muslim menunaikan fardhu Haji setiap tahun. Haji, rukun Islam kelima dan terakhir, adalah tanggungjawab wajib setiap Muslim yang perlu dijalankan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka jika berkemampuan secara fizikal dan kewangan. Seperti umat Islam lain, warga Brunei menganggap tanggungjawab ini sebagai manifestasi keimanan mereka yang paling penting. Kemampuan dari segi kewangan diberi keutamaan kerana tanggungjawab paling utama setiap Muslim adalah untuk menjaga kebajikan keluarga mereka terlebih dahulu. Mereka yang akan menunaikan fardhu Haji perlu memastikan kebajikan semua ahli keluarga mereka terjaga semasa ketiadaan mereka kelak.

Berbeza dengan Umrah, ibadah Haji dijalankan dalam tempoh lima hari antara 9 dan 13 Zulhijjah, bulan ke-12 dalam kalendar Hijrah (tempoh Haji tahun ini akan berlangsung antara
9-14 September, 2016). Dalam tempoh lima hari ini, jemaah Haji akan berkumpul di Mekah untuk menunaikan ibadah yang tidak berubah sejak zaman Rasullulah S.A.W. lebih 1,400 tahun yang lalu. Bayangkan: umat Islam dari merata dunia dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa dari latar belakang berbeza, semuanya menunaikan ibadah yang serupa secara serentak.

Kerajaan Arab Saudi pada masa ini menetapkan kuota untuk bilangan warga sesebuah negara untuk menghantar jemaahnya menunaikan fardhu Haji setiap tahun (400 orang bagi Negara Brunei Darussalam). Ini untuk memastikan keselamatan jemaah kerana sejumlah 2 juta Muslim akan berada di Mekah dalam satu masa. Disebabkan sistem kuota inilah warga Brunei amat bersyukur apabila mendapat berita bahawa nama mereka terpilih untuk menunaikan fardhu Haji.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha juga secara tradisi berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah bakal jemaah Haji di Istana Nurul Iman. Sebahagian dari tradisi ini adalah Baginda Sultan akan mengurniakan pakaian ihram kepada bakal jemaah Haji muslimin dan telekung kepada bakal jemaah Haji muslimah, berserta menyampaikan nasihat untuk para jemaah Haji.

Gelaran “Tetamu Allah” berasal dari hadith Rasulullah S.A.W. oleh Ibn Umar: “Orang-orang yang menunaikan Haji dan Umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepada-Nya, nescaya diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan-Nya, nescaya diampunkan.” (Ibn Maajah, 2893)

Ketika tiba di Mekah, setiap jemaah Haji dari Brunei akan mengucapkan kalimah berikut:

Labbaikallahumma Labbaik
Labbaika La Syarika laka Labbaik
Innal hamda wanni’mata
Laka wal mulk La syarika lak

Ku sambut seruan-Mu Ya Allah, Ku sambut seruan-Mu
Ku sambut seruan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, Ku sambut seruan-Mu
Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kekuasaan adalah milik-Mu
Tiada sekutu bagi-Mu

Kami mendoakan Haji yang mabrur buat semua jemaah Haji kali ini. Amin.

No Comments

There are currently no comments on JEJAK PENUH NIKMAT. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment