KEGEMILANGAN ISTIADAT PERPUSPAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on July 10, 2018 with No Comments

Peristiwa bersejarah penuh kegemilangan adat istiadat serta tradisi temurun Melayu Islam Beraja.

Teks JACQUELINE WONG
Imej ARKIB BRUNEI

01

01
Picture 1 of 6

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-29 dimahkotakan dalam Istiadat Perpuspaan dengan penuh kegemilangan dan bersejarah pada 1 Ogos, 1968.

 

Seorang pegawai tentera serta Pengiran Muda Mahkota, Pengiran Muda Hassanal Bolkiah, yang berusia 21 tahun telah ditabalkan sebagai pemerintah dan bergelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-29 dalam istiadat ringkas pada 5 Oktober, 1957.

Sungguhpun Baginda amat sibuk dengan urusan diraja, rancangan istiadat perpuspaan tetap dirancangkan. Istiadat tersebut telah diumumkan akan berlangsung pada 6 Jamadilawal, 1388 Hijrah bersamaan 1 Ogos, 1968. Pengumuman ini amat menggembirakan kerana mewujudkan satu peluang bagi rakyat jelata bersatu serta meraikannya. Mereka juga sedar bahawa Sultan Bolkiah (1485-1524), pemerintah Negara Brunei Darussalam Ke-5 yang senama dengan Baginda telah memerintah pada masa yang dikenali sebagai Zaman Kegemilangan. Persamaan nama yang dipilih oleh Baginda Sultan ini membawa harapan besar kepada rakyat jelata yang amat yakin pemerintah muda mereka akan memimpin negara ke arah kejayaan dan keunggulan.

Hampir 10 bulan selepas pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Istiadat Perpuspaan menyaksikan adat istiadat serta tradisi temurun kesultanan Melayu Brunei yang berusia 600 tahun. Dibandingkan taraf diraja hari ini, kegemilang Istiadat Perpuspaan pada tahun 1968 itu tetap menjadi salah satu upacara istiadat diraja yang paling mengagumkan yang pernah disaksikan di rantau ini.

Bermula dengan pengisytiharan rasmi serta tradisi temurun Istiadat Perpuspaan, Bendera Kuning dinaikkan di Bukit Panggal sementara Bendera Merah dipacakkan di Sungai Kebun di seberang Sungai Brunei. Bendera tersebut memberi makluman kepada rakyat dan penduduk Brunei (kuning) serta warga asing (merah) bahawa suatu isitadat diraja akan dilangsungkan.

Empat puluh hari sebelum Istiadat Perpuspaan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang baru dilangsungkan, Gendang Jaga-Jaga mula dipalu, sementara perhiasan diraja disiapkan dengan sempurna di Lapau, dan juga di Istana Darul Hana serta di sepanjang jalan Bandar Brunei (kini dikenali Bandar Seri Begawan) yang akan dilalui perarakan diraja. Ini termasuk tunggol kawan, payong ubor-ubor, ambal dan dadap dalam pelbagai warna yang melambangkan hierarki bangsawan Negara Brunei Darussalam. Balai Pemajangan di Istana Darul Hana juga dihiasi dengan perhiasan tradisional seperti sumbu layang, payung haram, payung tiga ringkat, sapu-sapu ayeng, panji-panji dan ula-ula besar.

Pada hari Istiadat Perpuspaan, orang ramai berkumpul di sepanjang jalan utama Bandar Brunei dari seawal jam 6 pagi untuk menyaksikan perarakan diraja dengan pemandangan terbaik. Sementara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sedang menjalankan Istiadat Bersiram di Istana Darul Hana, dan pembesar negara serta tetamu asing mula mengambil tempat di Balai Singgahsana Lapau Diraja. Sebanyak 21 das tembakan hormat dilepaskan menandakan berakhirnya Istiadat Bersiram.

Dari Istana Darul Hana, Baginda berkenan berangkat ke Jambatan Edinburgh di mana Baginda disertai Paduka Ayahanda Baginda, kini bergelar Paduka Seri Begawan, serta pegawai tertinggi diraja negara – Pengiran Bendahara, Pengiran Di-Gadong, Pengiran Pemancha dan Pengiran Temenggong. Mengikut tradisi temurun, hanya kaum lelaki berangkat ke Lapau Diraja sementara kaum wanita, termasuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, turut tinggal di Pasiban Singgahsana Istana Darul Hana.

Di Jambatan Edinburgh tersebut, Baginda berkenan mengambil tempat di Kursi Singgahsana di atas Usongan Diraja, yang dihiasi ukiran keemasan, diiringi pembesar negara yang telah diaturkan membawa alat kebesaran diraja disertai pegawai istana yang mebawa alat kebesaran diraja yang lain. Mahkota dibawa oleh Yang Amat Mulia Pengiran Paduka Tuan Sahibul Karib, Keris Si Naga dibawa olah Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Adinda Sahibul Fikri, Perhiasan Tunggal dibawa oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam, Kuching Emas dibawa oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Penggawa Laila Bentara Diraja dan Kimhap atau Tongkat Ajai dibawa oleh Setiausaha Sulit Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Perarakan diraja kemudiannya melalui Bandar Brunei menuju ke Lapau Diraja.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersemayam megah di atas Usongan Diraja dalam persalinan yang diperbuat daripada kain tenunan broked merah dalam corak Arab Gegati Berpakan. Persalinan Baginda dilengkapkan dengan amban (selempang) menurut rekaan yang sama dalam warna fusia, tara (kerongsang) pada dastar (tanjak), kuas bertatah batu permata (hiasan bahu), dan keris di sebelah kiri Baginda. Perarakan diraja disertai pegawai istana yang membawa alat kebesaran diraja Negara Brunei Darussalam masing-masing.

Setelah keberangkatan tiba di Lapau, Baginda berkenan melangkah turun daripada Usongan Diraja dan menerima tabik penghormatan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sebelum meneruskan ke Dewan Majlis. Baginda bersemayam di Patarana (ruang singgahsana) yang bersalut emas. Antara tetamu khas pada hari itu termasuk wakil-wakil Sultan Kelantan, Johor, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dari Malaysia dan Residen British ke Brunei, Tuan Yang Terutama A. R. Adair yang mewakili Ratu Elizabeth II, United Kingdom.

Kemuncak Istiadat Perpuspaan bermula dengan Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Betara Adat Istiadat Diraja meminta persetujuan
Al-Marhum Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien berkenan meraih Mahkota dan menyusupkan Keris Si Naga pada Baginda. Ini merupakan tanda simbolik penyerahan dan pelantikan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-29.

Dengan itu, Al-Marhum Paduka Seri Begawan Sultan menarik keluar keris baginda dengan perlahan dan menunjuk kepada tetamu hadirin sebagai tanda isyarat untuk memberi penghormatan kepada Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Pada masa yang sama, Wazir, Cheteria dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Di-Gadong juga menghunus keris mereka, semasa Seri Paduka Pengiran Bendahara melaungkan “Puja” (tanda penghormatan) tujuh kali; setiap satu diiringi titir Nobat Diraja dan tembakan hormat. Ini diikuti laungan Pehin Orang Kaya Di-Gadong untuk “Sembah Setia” yang dibuat tujuh kali, dengan setiap laungan disambut dengan bersemangat di luar perkarangan Lapau.

Ini kemudian diikuti dengan perisytiharan oleh Pengiran Bendahara:

Dengan izin Allah Kebawah Duli Tuanku
kini ditabal sebagai Raja di Negara Brunei;
Dengan izin Allah Kebawah Duli Tuanku
kini paling berkuasa di Negara Brunei;
Dengan izin Allah Kebawah Duli Tuanku
kini pemimpin rakyat jelata Negara Brunei;
Dengan izin Allah Kebawah Duli Tuanku
kini pelindung rakyat jelata Negara Brunei;
Dengan izin Allah Kebawah Duli Tuanku
kini tiang penopang Negara Brunei;
Dengan izin Allah Kebawah Duli Tuanku
kini Yang Di-Pertuan Negara Brunei;
Semoga Kebawah Duli Tuanku mewarisi
takhta diraja Brunei selama-lamanya,
memerintah dan meneraju rakyat
Negara Brunei Darussalam.
Amin Ya-Rabbal Alamin.

Sebagai sumpah kesetiaan rakyat kepada Sultan dan Yang Di-Pertuan, seorang pegawai istana muda menghunuskan kerisnya dengan mata keris dihalakan ke dada sendiri sementara hulu keris menghala ke arah Baginda Sultan. Seiring dengan Nobat Diraja mengalunkan irama pertabalan tradisional, 21 das tembakan hormat dilepaskan menyambut Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang baru dipuspakan.

Pada akhir Istiadat Perpuspaan bertradisi temurun, Baginda kemudiannya berkenan melangkah turun daripada Patarana dengan pengiring Baginda menuju ke hujung Lapau. Rombongan diraja seterusnya menjejak semula laluan perarakan, melalui jalan utama (kemudiannya dinamakan Jalan Sultan, sebagai memperingati upacara Istiadat Perpuspaan bersejarah tersebut), sebelum berangkat kembali ke Istana Darul Hana untuk menghadiri pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Sejajar dengan tradisi, perkarangan istana dibuka kepada rakyat jelata untuk menyampaikan penghormatan kepada pemerintah mereka yang baru. Kira-kira 50,000 orang ramai telah berbaris di sepanjang jalan dari awal waktu pagi dan terus berkembang sehingga petang mengambil peluang untuk turut meraikan peristiwa Istiadat Perpuspaan yang bersemangat dan bersejarah ini.

Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!

No Comments

There are currently no comments on KEGEMILANGAN ISTIADAT PERPUSPAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment