KEMBARA DI KAKI LANGIT

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on November 07, 2016 with No Comments

Warga Brunei yang menakluk banjaran Himalaya.

Teks Jacqueline Wong
Imej Shukri Zain

01

01
Picture 1 of 6

 

 

Terdapat pelbagai cara untuk mengenali kesultanan purba Nepal. Mungkin salah satu cara yang paling menarik dan tidak dapat dilupakan ialah menjelajahi beberapa gunung ikonik di negara ini yang amat dikenali di kalangan pendaki. Pendakian ke Kem Induk Annapurna yang terletak 4,120m di atas paras laut adalah satu pilihan yang paling mudah untuk Shukri Zain. Sebenarnya, keputusan yang lebih sukar merupakan persiapan dan penyediaan untuk menjalani pengembaraan ini – dari segi fizikal dan juga mental.

Keputusan Shukri untuk mendaki Annapurna tercetus hasil pertemuannya dengan Ravichandran Tharumalingam, warga Malaysia pertama yang berjaya mendaki ke puncak gunung Everest secara solo. Ketika berada di Malaysia untuk menghadiri kursus pendakian gunung yang diadakan oleh Ravichandran (atau Ravi), Shukri mendapat ilham apabila Ravi mencadangkan beliau menjejak ke Annapurna bersama sepasukan pendaki dari Negara Brunei Darussalam.

Selepas pulang ke tanah air, Shukri semakin bernekad untuk memulakan pengembaraan ini. Tidak lama kemudian, beliau berkongsi idea tersebut di laman Facebook. Sambutan yang diterima tidak disangka sama sekali. Ramai yang berminat dan ingin tahu akan rencananya. Selepas dipertimbangkan dengan penelitian yang terperinci beliau akhirnya membentuk satu pasukan yang terdiri dari lima individu termasuk dirinya.

Keindahan trek ke Kem Induk Annapurna termasuk kepelbagaian landskap yang dapat dinikmati. Seorang pendaki yang berpengalaman juga dapat menjejak trek ini ke paras 7,000 hingga 8,000 meter dalam masa yang agak singkat. Antara lain, trek ini melalui landskap denai dengan pemandangan sawah padi berteres, hutan renek rhododendron subur yang tumbuh liar, keindahan ancaman gaung mendalam, perkampungan Gurung yang tidak disentuh peredaran zaman, dan tentu sekali puncak pergunungan megah yang berubah warna antara simbahan cahaya matahari dan bayang-bayang.

Pasukan lima orang pendaki warga Brunei yang terdiri daripada Shukri Zain (Ketua Ekspedisi), Reduan Hussin, Romie K, Pg Sulaiman Pg Metali dan Zulamri Emran telah menetapkan sasaran mereka untuk memulakan pengembaraan pada bulan Mei, ketika musim bunga di Nepal yang sering menjadi pilihan para pendaki.
Namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana ketika mereka berada di situ, hujan lebat dan ribut petir yang tidak diduga melanda. Cuaca yang begitu buruk telah menyebabkan laluan trek berlumpur dan licin yang membawa cabaran yang lebih getir. Mujurnya, hasil persediaan rapi selama tiga bulan di bawah pengawasan Ravi, termasuk kursus mendaki gunung asas dan latihan lanjut di Tasek Lama dan Shahbandar, telah menyediakan pasukan Brunei ini dalam menghadapi cabaran situasi yang begitu susah serta buruk dengan tenang.

Ekspedisi pendakian 14-hari ke Kem Induk Annapurna (4,130 m) ini merupakan suatu pengalaman yang amat hebat untuk Pasukan Mountaineer Brunei. Mereka tiba di kem pada hari yang keenam, sehari lebih awal daripada jadual asal. Tahap kecergasan dan ketahanan mereka sangat dipuji oleh Ravi.

Pada 12 Mei 2016, pasukan ini sempat menikmati pemandangan keindahan matahari terbenam di Kem Induk Annapurna. Keesokan harinya pada 13 Mei pula, mereka dapat menikmati keindahan pemandangan matahari terbit di bumbung dunia. Tanpa melengahkan masa, mereka tetap meneruskan perjalanan mereka menuju ke puncak Gunung Himchuli (6,441m) sebagai suatu latihan khas pendaki gunung alpine. Pasukan Brunei telah menjejakkan kaki sampai ke paras 6,000 meter sebelum cuaca buruk menghalang niat mereka untuk sampai ke puncak. Demi keselamatan, pasukan Brunei mengambil keputusan untuk kembali ke Kem Induk Annapurna. Walaupun dihalang cuaca buruk, pengalaman ini amat hebat dan menakjubkan kerana jarang sekali sepasukan pendaki dapat mencapai ke Kem Induk Annapurna dua kali dalam tempoh 24 jam!

Mendokumentasikan pendakian ini amat penting bagi Shukri kerana beliau ingin mendorong lebih ramai warga Brunei untuk menyahut cabaran yang sama. Sasaran beliau seterusnya ialah menjejaki Kem Induk Gunung Everest pada tahun 2017. Dan kali ini, beliau yakin lebih ramai warga Brunei akan berminat untuk turut serta bersama beliau. Buat masa ini, beliau kembali meneruskan latihan dalam persiapan untuk mencapai impiannya mengembara di kaki langit sekali lagi.

 

Shukri akan mendaki ke Kem Induk Everest secara solo pada bulan November.

No Comments

There are currently no comments on KEMBARA DI KAKI LANGIT. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment