MANISAN TRADISI ASIA

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on September 03, 2016 with No Comments

Brunei, destinasi peminat juadah pencuci mulut.

Teks & Imej JACQUELINE WONG

01

01
Picture 1 of 5

 

Sukar untuk menolak juadah pencuci mulut. Lebih-lebih lagi di rantau Asia yang kaya dengan pelbagai jenis kuih-muih yang mampu memikat selera sesiapa sahaja. Sama seperti di Barat, kuih-muih di rantau ini lazimnya menjadi hidangan waktu petang. Kadang kala, kuih-muih dan manisan juga boleh dijadikan snek atau sebagai hidangan utama.

Di Negara Brunei Darussalam, pencuci mulut dan manisan merupakan satu bentuk seni yang tersendiri. Dan kaedah terbaik untuk mempelajari seni ini adalah di dapur rumah dengan tunjuk ajar si ibu. Tradisi turun-temurun ini memastikan generasi baru mahir dalam menghasilkan manisan dan kuih-muih asli. Ia memerlukan kesabaran, kecekapan, dan paling utama, kasih sayang.

Inilah sebabnya pencuci mulut di Brunei tidak tertumpu kepada rasanya semata-mata. Setiap juadah yang disediakan juga perlu memikat mata. Katilapam, tapai dan kelupis dipersembahkan di dalam bungkusan kecil diperbuat daripada daun pandan dan pisang. Dengan kesabaran dan ketekunan, bungkusan ini dihaslkan dengan kemas dan rapi. Jika silap gayanya, yang dihasilkan mungkin kelihatan seperti guni daun pisang!

Manisan dan kuih-muih di Brunei lazimnya berasaskan kanji – seperti sago, tepung beras, beras pulut, tapai, dan tepung ubi kayu. Beras adalah makanan ruji di Brunei, jadi tidak hairanlah jika beras dan ramuan berasaskan beras digunakan dalam kebanyakan resepi. Pencuci mulut yang dihasilkan dengan tepung beras mempunyai tekstur dan rasa yang unik. Rasa yang berbeza dapat dihasilkan, bergantung kepada kaedah masakan, samada dikukus, dibakar, direbus atau digoreng. Ramuan lain yang menambah lagi keenakan kepada juadah pencuci mulut di Brunei adalah gula kelapa, santan dan daun pandan – keharumannya dan kehijauan daunnya mampu menjadi penambah selera kepada mana-mana hidangan.

Kuih-muih juga antara snek yang dianggap sebagai pencuci mulut di Brunei. Kuih kering, makanan cincin, bahulu, sapit dan cacah antara resepi kuih-muih tradisi yang berasal dari penduduk Kampong Ayer, penempatan pertama di Brunei. Kuih kering mempunyai rasa yang terang tetapi tidak terlalu tajam, dan mengandungi jintan putih, biji ketumbar, dan jintan manis. Ada juga kuih yang unik dalam pembuatannya kerana menggunakan acuan khusus, seperti bahulu dan sapit, dengan sesetengah acuan yang sama digunakan sejak turun-temurun.

Pencuci mulut di Brunei mudah didapati bukan sahaja di tamu-tamu tetapi juga di pasaraya. Kuih-muih dan manisan tradisi ini merupakan pilihan terbaik untuk pengunjung yang mahu membawa pulang buah tangan, lebih-lebih lagi kerana ia mencerminkan rasa sebenar Brunei yang asli.

No Comments

There are currently no comments on MANISAN TRADISI ASIA. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment