MENEROKAI PULAU SELIRONG

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on January 07, 2019 with No Comments

Keindahan khazanah alam sedia dikunjung.

Teks JUSTIN JEFFREY
Terjemahan IMA ABDULLAH
Imej JUSTIN JEFFREY & MARKIM BIN HJ RAHMAN

Invalid Displayed Gallery

 

Kawasan semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna adalah penting bukan sahaja untuk mengekalkan habitat kehidupan liar, tetapi ianya menjadi tarikan pengunjung yang inginkan suasana aman dan tenang jauh dari kesibukan harian tekanan kehidupan di kota. Ternyata di Negara Brunei Darussalam masih terdapat kawasan hijau yang menjanjikan suasana damai yang yakin dapat menghilangkan tekanan awda. Salah satunya merupakan hutan bakau dan persisiran air yang mengelilingi Pulau Selirong.

Kelebihan tarikan Pulau Selirong ialah ianya berhampiran dengan ibukota Bandar Seri Begawan. Rasa amat seronok apabila menemui suatu kawasan hijau saujana mata memandang tidak jauh dari halaman rumah. Oleh kerana lokasinya yang berdekatan, tidak menjadi masalah untuk pelawat ke Brunei untuk menikmatinya walaupun dengan jadual lawatan yang singkat.

Pulau Selirong merupakan salah satu di antara 33 pulau yang tersebar di persisiran pantai Brunei yang kini telah dibangunkan sebagai destinasi eko pelancongan. Pada tahun 1948 (Gazet Pemberitahuan 99/1948) di bawah Akta Perhutanan 1934, pulau ini telah diwartakan sebagai sebuah Hutan Simpanan dan kini diklasifikasikan sebagai Taman Rekreasi Hutan. Kebenaran khas dari Jabatan Perhutanan perlu didapati untuk melawat Pulau Selirong. Ini boleh diuruskan dengan mudah oleh pengendali pelancongan awda.

Baru-baru ini, satu lawatan ke Pulau Selirong dengan kayak telah dikendalikan oleh pasukan suami dan isteri, Mark dan Wann dari Mark Putera Delima Tours Sdn Bhd (markputeradelima@gmail.com). Begitu jelas bahawa Pulau Selirong menawarkan banyak lagi tarikan kepada pengunjung. Bermula di jeti Temburong yang bertempat di bawah Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha atau dikenali dengan nama ringkasnya, Jambatan Sungai Kebun, perjalanan ke pulau mengambil masa lebih kurang satu jam. Menyusuri Sungai Brunei dengan bot pada awal subuh, kami melalui perairan Kampong Ayer yang baru terjaga dengan laungan azan. Jambatan baru ke Temburong, suatu model kejuruteraan moden, tersergam indah bersandarkan sinaran cahaya fajar di ufuk timur di depan kami. Waktu subuh sering merupakan suasana yang tenang. Walau bagaimanapun, perjalanan bot di perairan tenang dengan pemandangan jauh awan lebat menuruni Banjaran Crocker boleh merupakan pengalaman yang menarik atau yang mendebarkan dengan ribut yang tiba melanda. Pendek kata, perjalanan ke Temburong tidak pernah membosankan.

Setibanya di Pulau Selirong dan setelah pendaftaran di pondok pengawal, kami memulakan perjalanan kami berdayung kearah timur hutan simpanan yang bersempadan dengan Malaysia di perairan Sungai Raya. Sekiranya bernasib baik, awda mungkin diiringi ikan lumba-lumba Irrawaddy yang begitu sukar untuk dilihat berdekatan. Pelbagai anak sungai dan perairan kecil mengalir ke Sungai Raya menawarkan laluan ke pendalaman hutan bakau di mana terdapat banyak lagi spesies pokok bakau yang tumbuh dengan pesat. Berdayung di kawasan ini juga menguji kecekalan terutama bagi pendayung baru, namun terdapat satu lagi pilihan untuk menikmati alam sekitar Pulau Selirong yang aman murni ini. Para pengunjung juga boleh menikmati lebih dekat tumbuhan pokok bakau serta pelbagai flora dan fauna yang mengagumkan dengan berjalan kaki di atas pelantar kayu yang tersedia ada. Kemudahan pondok rehat atau wakaf menawarkan tempat beristirehat sambil menikmati pemandangan kawasan hutan bakau dan mendengar suara alam. Untuk mereka yang berpenglihatan tajam, kehidupan liar seperti kubung atau lemur terbang serta monyet Proboscis dengan hidung panjang melucu dan perut periuk tidak jarang kelihatan. Tetapi Pulau Selirong bukan sahaja untuk pencinta alam. Ia juga merupakan suatu pilihan yang menarik bagi mereka yang menginginkan ketenangan fikiran daripada tekanan kesibukan harian. Sebuah habitat ekologi yang penuh dengan keaslian semulajadi yang terletak di halaman Brunei, Pulau Selirong memang merupakan suatu tempat yang menakjubkan untuk diterokai.

No Comments

There are currently no comments on MENEROKAI PULAU SELIRONG. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment