MOBILITI LEBIH PINTAR

Written by support. Posted in BEST OF BRUNEI

Published on March 22, 2015 with No Comments

Penyertaan pasukan wanita Brunei dari Pusat Latihan Mekanik.

Penyertaan pasukan wanita Brunei dari Pusat Latihan Mekanik.
Picture 1 of 4

Bermula sebagai satu pertaruhan kecil, kini Shell Eco-Marathon telah menjadi sebuah acara global.

Teks JEFFREY LIM
Imej SYARIKAT MINYAK BRUNEI SHELL SDN BHD

Pada tahun 1939, sekumpulan ahli sains di sebuah makmal kajian Shell di Amerika Syarikat membuat satu pertaruhan kecil sesama mereka. Matlamatnya? Untuk melihat siapa yang dapat mencatat jarak perjalanan paling jauh dengan kenderaan mereka. Pemenangnya hanya berupaya mencapai catatan 21 km seliter, namun bermula dari itu, satu perlumbaan yang lebih tersusun terbentuk. Pada tahun 1985 di Perancis, lahirlah perlumbaan Shell Eco-Marathon (SEM) yang dikenali hari ini. Kemudian pada tahun 2007, SEM Benua Amerika diadakan di Amerika Syarikat. Tidak lama selepas itu, perlumbaan ini sampai ke benua Asia dengan Malaysia sebagai tuan rumah pada tahun 2010. Tahun ini, Filipina menjadi tuan rumah, sehingga tahun 2016.

Pendek kata, perlumbaan global yang unik ini adalah untuk menentukan mana satu pasukan – diwakili oleh pelajar-pelajar universiti, kolej dan institut teknikal – yang boleh memandu jarak paling jauh dengan hanya satu liter bahan api. Bukan itu sahaja, tetapi para pelajar ini akan menggunakan kenderaan jimat bahan api yang direka oleh mereka sendiri. Satu cabaran baru untuk tahun ini adalah litar istimewa yang disediakan untuk perlumbaan. Jika di Malaysia perlumbaan ini diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, tuan rumah tahun ini Manila menjadikan jalan raya di Luneta Park sebagai litar lumba mereka. Litar lumba dalam bandar ini memberikan para pelajar terlibat pengalaman memandu dalam dunia nyata, menyaksikan ciptaan jimat bahan api mereka beraksi dalam persekitaran dunia sebenar.

Negara Brunei Darussalam dengan bangganya turut terlibat dalam perlumbaan SEM tahun ini yang disertai oleh 105 pasukan pelajar dari 15 buah negara dari seluruh Asia dan Timur Tengah. Lima pasukan mewakili Brunei. Dua daripadanya mewakili Pusat Latihan Mekanik (PLM) serta Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengambil bahagian dalam kategori Prototaip. Manakala tiga pasukan yang lain melihat dua penyertaan dari Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah (SVSB) dan satu dari PLM mengambil bahagian dalam kategori kenderaan Konsep Urban.

Kategori Prototaip memerlukan kenderaan dengan reka bentuk masa depan – kenderaan bergaris arus dengan fokus untuk memaksimakan penjimatan penggunaan bahan api melalui elemen-elemen reka bentuk inovatif, seperti pengurangan seretan. Kategori Konsep Urban pula tertumpu kepada rekaan kenderaan yang layak pandu di jalan raya sebenar. Dengan tujuan untuk memenuhi kehendak pemandu dalam dunia sebenar, kenderaan dalam kategori ini lebih mirip kepada kenderaan jimat bahan api yang digunakan di jalan raya pada masa kini.

Cabaran pertama untuk Pasukan Brunei adalah untuk memastikan kenderaan-kenderaan mereka melepasi pemeriksaan teknikal sebelum dibenarkan memasuki litar. Setiap kenderaan dipasang dengan cip dan perlu melalui satu siri stesen pemeriksaan. Ini termasuk stesen pemeriksaan brek, pemeriksaan dimensi dan ukuran kenderaan, serta pemeriksaan berat kenderaan. Kenderaan Prototaip tidak boleh melebihi berat 140 kg sementara bagi kenderaan Konsep
Urban, had berat maksima ditetapkan pada 205 kg.

Pemeriksaan juga untuk memastikan pemandu dapat melihat 180 darjah ke hadapan, amat penting apabila berada di atas litar, dan untuk memastikan pemandu boleh keluar dari kenderaan mereka dalam masa 10 saat jika berlaku sebarang kecemasan. Di setiap stesen, seorang pegawai pemeriksa menggunakan pad elektronik untuk mengimbas cip pada kenderaan dan mencatat sama ada lulus atau gagal dalam setiap peringkat permeriksaan. Semua pasukan perlu berkerja keras untuk menyelesaikan apa jua masalah yang timbul sebelum kembali semula kepada litar.

Antara perkara menonjol tentang perlumbaan kali ini ialah penyertaan pasukan wanita Brunei. Pasukan PLM Alpha 2 menyertai perlumbaan dengan kenderaan Prototaip eletrik yang dikuasai bateri, dengan kapsul berwarna hitam
dan kuning yang menyerupai seekor tebuan gergasi beroda. Pasukan yang terpaksa melalui paling banyak rintangan adalah Pasukan Bruda-Mech dari SVSB ketika mahu melepasi pemeriksaan teknikal. Namun akhirnya, kelima-lima penyertaan Brunei diberi lampu hijau untuk menyertai perlumbaan.

Selepas semua kereta melepasi pemeriksaan teknikal, para pelumba memulakan perlumbaan mengelilingi litar sepanjang 1.2 km itu dengan diawasi 16 kamera litar tertutup serta pasukan keselamatan diketuai bekas juara siri F3, Pepon Marave. Pelumba tidak dibenarkan memotong kenderaan lain di selekoh ataupun menggunakan hon ketika memotong pada kawasan lain di litar. Mereka yang melanggar peraturan diberi amaran dan boleh disingkir dari perlumbaan. Para pelumba juga hanya diberikan tempoh masa 30 saat sahaja untuk menghidupkan semula kenderaan mereka jika terhenti, sebelum salah seorang dari 26 marsyal perlumbaan menarik kenderaan mereka keluar atas dasar keselamatan.

Pemandu akan cuba untuk menamatkan 10 pusingan litar sebelum pegawai-pegawai perlumbaan mengukur jumlah bahan api yang digunakan sekaligus menentukan catatan kWj atau kWL. Hanya dua Pasukan Brunei yang berjaya membuat larian lengkap di litar, iaitu pasukan wanita Alpha 2 dari PLM dengan catatan terbaik 52.7 km/kWj serta pasukan GenNext II dari UBD dengan catatan 112.1 km/kWj, cukup baik untuk mendapat tempat ke-10 dalam perlumbaan.

Shell Eco-Marathon Asia 2014 menyaksikan 24 Anugerah On-Track dengan wang hadiah sebanyak US$2,000 dan US$1,000 masing-masing untuk Johan dan Naib Johan dalam kedua-dua kategori Prototaip dan Konsep Urban. Pasukan Indonesia dan Pasukan Thailand muncul pemenang besar dalam perlumbaan tahun ini dengan empat dan tiga gelaran juara masing-masing. Dalam pada itu, Shell juga menyampaikan anugerah-anugerah sampingan untuk kategori Komunikasi, Reka Bentuk Kenderaan, Inovasi Teknikal, Keselamatan, Ketabahan dan Semangat Pertandingan, serta Anugerah Shell Helix Tribology. Anugerah khas Shell Helix Tribology ini diberi sebagai pengiktirafan untuk pasukan pelajar yang berjaya menggunakan prinsip-prinsip kejuruteraan pelinciran dalam reka bentuk untuk meningkatkan keberkesanan penjimatan penggunaan bahan api dalam kenderaan mereka.

Walaupun Pasukan Brunei tidak muncul juara, persembahan mereka kali ini menunjukkan potensi dan kebolehan yang tinggi – dari segi semangat berpasukan, komunikasi dan setiakawan – sekaligus menjadi kebanggaan buat negara.

Pasukan Brunei telah ditaja oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) and Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM).

No Comments

There are currently no comments on MOBILITI LEBIH PINTAR. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment