PENDAYUNG PAPAN SENAM BRUNEI

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on January 18, 2018 with No Comments

Nikmatilah elemen alam semulajadi senam urban dengan dayung dan papan dayung, bersama sekumpulan pengunjung hari mingguan.

01

01
Picture 1 of 5

 

Pada setiap pagi hari Sabtu di Tasik Lugu, sekumpulan anak-anak warga Brunei yang teruja mengikuti Stephen Officer sambil beliau mengarahkan mereka meloncat ke atas papan dayung. Ada juga yang nampak kegelisahan. Mereka tidak bertujuan menangkap gelombang, tetapi untuk bersenam dengan berdiri di atas papan dayung. Dalam 80 minit yang seterusnya, mereka akan belajar cara mengimbangkan diri, menyedari apa maksudnya otot teras, dan memperolehi latihan lengkap keseluruhan badan.

Tren senam urban yang dikenali sebagai papan dayung berdiri atau stand up paddle board, semakin popular di kalangan penduduk bandar kerana ia suatu senaman yang dilakukan di air, walaupun sebenarnya, mereka tidak akan basah kuyup. Officer, yang menggambarkan dirinya sebagai peminat sukan air, berkebetulan terdedah kepada aktiviti ini ketika beliau bercuti di Australia. Dari saat itu, Officer bersemangat untuk mempelajarinya. “Awda tidak perlu menjadi atlet serba boleh untuk melakukannya. Awda juga tidak memerlukan apa-apa pengalaman,” kata beliau. “Sesiapa pun boleh belajar untuk mendayung papan dan tanpa awda menyedarinya, senang saja untuk mendayung satu kilometer.”

Mereka yang ingin melakukan aktiviti fizikal luar tanpa beban sukan kompetitif akan mendapati betapa mudahnya bersukan papan dayung. Kembali semula ke Tasik Lugu melihat Officer dan anak-anak jagaan beliau, jelas kelihatan Officer seorang yang rendah hati dan penyabar. Watak ini hanya didapati apabila seseorang itu bersemangat dalam apa yang dilakukan dan berkeinginan untuk menolong orang lain dengan ikhlas. Officer merupakan jurulatih Stand Up Paddling pertama di Brunei yang diiktirafkan oleh Academy of Surfing Instructors dalam latihan penyelamatan air dan juga latihan sungai, tasik dan laut. Pada Sabtu pagi yang nyaman ini, Officer sedang membimbing sekumpulan pemula mempelajari latihan pertama: bermula dengan mendayung papan sambil berlutut, kemudian berdiri atas papan sambil mengimbangi diri, dan akhirnya berdiri di atas papan sambil mendayung. “Semua individu melakukannya pada tahap diri masing-masing,” kata Officer. Apa yang membuatkan aktiviti ini menjadi semakin popular semenjak kebelakangan ini adalah kerana aktiviti ini boleh dilakukan di mana saja terdapatnya badan air. Dari tasik ke serokan dan pantai, aktiviti papan dayung sememangnya senang untuk diakses, terutamanya jika awda tinggal di bandar.

Gaya papan dayung berdiri (stand up paddling) yang disingkatkan ke SUP dikatakan berasal dari pemuda pantai Waikiki di Honolulu yang berdiri tegak atas papan dayung panjang ketika mengajar para pelancong cara untuk bermain luncur air. Tetapi, gaya awal SUP dan pengulangannya didokumentasikan dalam pelbagai tamadun awal Asia, Barat dan Amerika Selatan. Bagi Officer, memperkenalkan aktiviti SUP ke Brunei telah membolehkan beliau menerokai kawasan baru yang kurang diketahui umum dan memperkenalkan aktiviti ini kepada orang ramai. “Kerana masing-masing belajar mengikuti tahap tersendiri, ini memberi kesempatan bagi pendayung untuk menikmati kawasan persekitaran mereka. Kawasan terlindung di sepanjang pantai Brunei, seperti Pantai Tungku misalnya, mempunyai suasana yang indah dan tenang. Kadang-kala, kami dapat melihat hidupan liar seperti penyu laut dan ikan lumba-lumba. Kami juga mengajar di tasik air tawar yang dikelilingi oleh hutan asli, dan walaupun kami tidak dapat menjangka ketibaannya, awda mungkin dapat melihat burung enggang jika berkesempatan.”

Seiring dengan tren yang sedang mengembang, aktiviti papan dayung berdiri terbukti suatu aktiviti sosial yang menyeronokkan. Sesetengah peminat telah mengambil konsep ini lebih jauh dan menggabungkan kecergasan dan pengukuhan teras berimpak rendah untuk menjadikannya suatu latihan keseluruhan badan, minda dan jiwa. Jelas sukan ini tiada batasan. Namun di SUP-Surfari, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh Officer, beliau gembira dapat memperkenalkan sukan ini kepada mereka yang ingin berpengalaman menerokai negara sendiri dalam suasana yang santai dan tenang.

No Comments

There are currently no comments on PENDAYUNG PAPAN SENAM BRUNEI. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment