PERIUK KERA UNIK

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on November 01, 2015 with No Comments

Mengenali tumbuh-tumbuhan karnivor di Brunei yang menakjubkan.

Imej JABATAN PERHUTANAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM & DR ULMAR GRAFE

 

 

 
Picture 1 of 4

Nepenthes hemsleyana.

 

Lazimnya dikenali sebagai Periuk Kera, nama tumbuh-tumbuhan ini langsung tidak membayangkan bahaya yang menanti mangsa yang malang sehingga ia terperangkap di dalamnya. Sesungguhnya ia adalah perangkap maut semulajadi!

Periuk Kera, dari genus Nepenthes, adalah antara jenis tumbuh-tumbuhan yang paling luar biasa di dunia. Nektar manis yang harum berfungsi memikat serangga ke dalam bahagian kendi tumbuh-tumbuhan ini, yang berisi enzim pencernaan yang sangat berasid. Enzim ini akan mencernakan serangga dan binatang-binatang kecil yang terperangkap, serupa dengan fungsi enzim pencernaan di dalam perut manusia.

Sindrom karnivor Periuk Kera adalah sifat yang semulajadi bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup dalam persekitaran dengan tanah yang kurang nutrien. Tumbuh-tumbuhan ini terpaksa bertindak sebagai karnivor untuk mendapatkan bekalan nitrogen dan galian dari mangsa mereka, yang diperlukan untuk protein dan DNA tumbuh-tumbuhan. Jauh berbeza dengan mitos-mitos dan kisah-kisah dongeng tentang Periuk Kera gergasi yang menjadikan manusia sebagai mangsa, kajian ke atasnya menunjukkan banyak lagi perkara menarik selain dari sifat karnivor tumbuh-tumbuhan ini.

Setakat ini terdapat 15 spesies Nepenthes di Negara Brunei Darussalam; empat daripadanya hidup di kawasan tanah tinggi Temburong. Dikenali oleh orang tempatan sebagai sumboi-sumboi, strukur kendi yang memberi nama kepada tumbuh-tumbuhan ini sebenarnya terbentuk dari dedaun yang diubahsuai. Bahagian tepi dedaun ini menjadi sangat licin apabila basah. Terdapat pelbagai jenis struktur kendi yang terbentuk dari dedaun Periuk Kera, namun semuanya mempunyai persamaan komponen asas iaitu bahagian penutup, bahagian tebing bukaan berbentuk kolar baju (peristom); dan di dalam kendi adalah zon atas kendi yang berlilin, dan bahagian zon bawah yang berkelenjar.

Bahagian tudung membentuk bahagian struktur atap kendi yang membantu untuk menarik perhatian serangga dan juga memastikan tidak terlalu banyak air hujan memasukinya sehingga mencairkan kelenjar di dalamnya. Bahagian peristom menarik perhatian serangga dengan warnanya yang memikat serta nektar manis yang harum. Apabila peristom kering, serangga boleh hinggap di atasnya dengan selamat. Namun apabila menjadi basah dengan embun atau air hujan, peristom akan menjadi sangat licin. Apabila ini terjadi, serangga akan mudah jatuh ke dalam bahagian kendi.

Panjang batang Periuk Kera boleh tumbuh sehingga enam meter. Sesetengah spesies mempunyai bunga setinggi satu meter yang mampu menampung enzim kelenjar pencernaan sebanyak dua liter dalam ruang sedalam 40 sentimeter. Malah spesies Nepenthes rajah yang boleh dijumpai di Borneo, mampu memerangkap dan melemaskan seekor rodensia.

Cecair enzim ini sememangnya berbahaya kepada serangga dan haiwan-haiwan kecil, namun bagi penduduk tempatan di Brunei, ada yang menggunakannya untuk tujuan perubatan. Cecair dari Periuk Kera yang muda dan masih boleh terbuka, digunakan untuk luka serta merawat inkontinens, iaitu ketakupayaan seseorang untuk mengawal pembuangan tinja atau air kecil. Bahagian rerambut sesetengah spesies Nepenthes digunakan untuk merawat batu karang, darah tinggi, demam dan batuk. Pada masa kini juga, bakteria endofitik yang diasingkan dari tumbuh-tumbuhan ini dipercayai mempunyai nilai-nilai perubatan, menghasilkan bahan bio-aktif yang mungkin boleh digunapakai oleh industri perubatan farmasi.

Tempat terbaik untuk melihat kepelbagaian spesies Nepenthes di Brunei terletak di kawasan pantai pasir putih di lebuhraya pesisir pantai yang menghubungkan Tutong dan Telisai, serta kawasan paya Belait. Kawasan hutan di Temburong pula satu-satunya kawasan di Brunei untuk melihat spesies-spesies tanah tinggi paling luarbiasa seperti Nepenthes veitchii, Nepenthes lowii, Nepenthes stenophylla dan Nepenthes tentaculata.

Periuk Kera masih menyimpan seribu satu misteri pada hari ini walaupun kajian saintifik ke atasnya telah dilakukan selama satu abad. Spesies yang berbeza menggunakan komponen perangkap yang unik dan evolusi menyaksikan kepelbagaian adaptasi jenis perangkap yang dikhususkan untuk menangkap mangsa yang disasarkan. Sebagai contoh, beberapa kajian mendapati spesies Nepenthes hemsleyana adalah tumbuhan-tumbuhan yang lazim digunakan sebagai tempat bertenggek untuk kelawar pada waktu siang. Pada masa sama, spesies ini mendapat manfaat dari najis kelawar yang kaya dengan nitrogen. Kajian seperti ini membantu para saintis untuk mengenal pasti aspek kesalingan dalam sesetengah jenis Periuk Kera yang tidak diketahui sebelum ini.

Semua jenis Nepenthes di Brunei, kecuali Nepenthes gracilis (Periuk Kera biasa yang lazim dijumpai), adalah spesies penting yang dianggap bernilai kerana mereka hanya hidup di beberapa kawasan terhad sahaja dan menarik minat para pengumpul Periuk Kera (Nepenthes hispida, Nepenthes albomarginata, Nepenthes hemsleyana, Nepenthes mirabilis, dan Nepenthes bicalcarata). Oleh yang demikian, spesies-spesies sukar ditemui ini menghadapi risiko kepupusan yang berkait.

Dalam pada itu, semua jenis Periuk Kera dalam genus Nepenthes dianggap terancam dan disenaraikan dalam Apendiks II CITES, sekaligus terpelihara dengan larangan dipindahkan menyeberangi sempadan antarabangsa. Malangnya, habitat spesies Nepenthes di kawasan tanah rendah kini menerima ancaman dari pembangunan pesisir pantai, industri dan bandar. Sudah tiba masanya kita bersama-sama menjaga dan menyelamatkan habitatnya supaya tumbuh-tumbuhan ini akan terus subur berkembang dalam persekitaran semulajadi.

No Comments

There are currently no comments on PERIUK KERA UNIK. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment