PUTERI RIMBA

Written by support. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on April 06, 2015 with No Comments

Hoya wongii Rodda et al.

Hoya wongii Rodda et al.
Picture 1 of 5

Mengenali Hoya Brunei.

Teks GRACE CHOY
Imej JABATAN PERHUTANAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Pada tahun 2011, satu spesis baru Hoya ditemui di Tutong, Negara Brunei Darussalam. Bagi mereka yang kurang arif mengenai tumbuh-tumbuhan, Hoya juga dikenali sebagai bunga lilin, dan semakin kerap menjadi pilihan juruseni tanaman dan penggemar bunga-bungaan. Ini kerana ia wujud dalam pelbagai bentuk dan warna. Tambahan pula, Hoya antara jenis tanaman yang paling mudah untuk dijaga.

Spesis baru di Brunei ini merupakan penemuan yang penting kerana kepelbagaian Hoya di kepulauan Borneo masih sukar untuk dianggarkan. Ini kerana masih banyak kawasan di Borneo yang belum diterokai sepenuhnya. Walaupun keluasannya terhad, namun Brunei boleh bermegah kerana mempunyai pelbagai spesis Hoya. Sebagai perbandingan, hanya 27 spesis boleh ditemui di seluruh Semenanjung Malaysia, yang sudah jauh lebih luas diterokai dengan mendalam.

Penemuan spesis baru di Brunei ini, Hoya wongii, tepat pada waktunya kerana Hoya kini menjadi antara pilihan utama penanam. Dan walaupun nama botaninya agak rumit untuk disebut – seperti Hoya purpureofusca atau Hoya pubicalyx – namun penjagaannya jauh lebih mudah.

Hoya sejenis tumbuhan yang tahan lasak. Ia paling sesuai ditanam dalam persekitaran cuaca tropika dengan kadar kelembapan 50 peratus. Hoya boleh didapati dalam semua warna pelangi, kecuali biru dan hitam. Antara warna bunga Hoya adalah jingga, hijau, merah jambu, kuning dan merah, malah ada yang mempunyai beberapa warna berlainan. Hoya boleh tumbuh dengan baik di dalam rumah, di bawah cahaya lampu, namun masih mampu menghasilkan warna-warna yang cukup indah apabila berbunga.

Pelakon terkenal Gwyneth Paltrow antara peminat Hoya, dan baru-baru ini melancarkan siri produk minyak kecantikan asli jenama Goop yang menggunakan Hoya sebagai kandungan utama. Goop merupakan blog gaya hidup yang diperkenalkan aktres itu pada tahun 2008. Difahamkan produk keluaran Paltrow ini adalah yang pertama dalam industri produk kecantikan kulit yang menggunakan minyak dari bunga Hoya. Dua jenis bahan organik, fitosterol dan terpena, dipercayai membantu pertumbuhan Hoya, dan bahan-bahan inilah yang dipercayai mampu membaikpulih kesihatan kulit.

Selain kegunaannya untuk tujuan kecantikkan, Hoya juga digunakan dalam perubatan pelbagai budaya. Sebagai contoh, ubat-ubatan Cina menggunakan Hoya sebagai bahan anti-radang. Dedaunnya digunakan merawat luka-luka dan kesan bakar, dan seluruh tumbuhan ini boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit dan gigitan serangga. Malah kini ada kajian baru yang membuktikan bahawa Hoya mampu menapis kandungan udara secara semulajadi. Namun tidak kira apa pandangan awda mengenai tumbuhan istimewa ini, yang pastinya Hoya merupakan pilihan terbaik sebagai tanaman di rumah kerana keindahannya dan kewangian bunga-bunganya.

01
02
03
04
05

No Comments

There are currently no comments on PUTERI RIMBA. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment