RENCAH & REMPAH

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on May 17, 2016 with No Comments

Kenali keindahan alam botani halia liar Negara Brunei Darussalam.

Imej Jabatan Perhutanan, Negara Brunei Darussalam

01

01
Picture 1 of 4

 

 

Mereka yang mengenalinya pasti akan mengakui kecantikan tumbuhan halia hutan. Halia jenis ini adalah sangat unik, kelazimanya berwarna merah, merah jambu dan jingga, dan secara teknikal herba jenis ini mempunyai rizom. Flora halia hutan kelihatan sangat menarik jika digunakan dalam gubahan bunga tropika, dan sering menjadi pilihan penyeri laman kerana kelihatan elegan dan juga mempunyai simetri yang sungguh menakjubkan.

Terdapat banyak spesis yang tumbuh liar, contohnya bunga kantan yang boleh digunakan sebagai salah suatu ramuan hidangan tempatan. Bunga kantan selalunya ditanam di laman rumah, di mana ia mekar dari permukaan bumi dan juga dikenali dengan nama ‘torch ginger’ kerana kelihatan seperti obor api. Variasi genus ini juga begitu menakjubkan.

Halia hutan lazimnya ditemui dalam hutan hujan Afrika dan Asia Tenggara. Ia dikenali dengan pelbagai nama, seperti Porcelain Rose atau Torch Lily. Warnanya yang seri serta rasa eksotik menjadikannya pilihan dalam masakan tradisional dan hidangan tempatan. Contohnya, dalam masakan tempatan Brunei, bunga kantan digunakan sebagai hiasan dan juga sebagai penambah perisa kepada hidangan seperti nasi ulam – nasi bersama herba tempatan seperti daun gajus. Bunga kantan menyerikan hidangan ini secara halus, dan bersama dengan herba segar lain, membantu mengharumkan hidangan nasi ulam. Bunga kantan juga digunakan dalam penyediaan hidangan asam laksa, sebagai ulaman dengan sambal, dan juga boleh dijadikan sos ringkas dengan sedikit kicap soya dan cuka. Dalam masakan, kelopak bunga yang keras dan berminyak akan dibuang, dan hanya isinya yang merah dan lembut digunakan.

Bunga kantan, yang diberikan nama saintifik Etlingera elatior, sudah berabad digunakan oleh masyarakat tempatan Borneo. Pucuk dan bunganya dianggap sayuran dalam masakan, atau sebagai perencah kuah laksa apabila isinya dihiris halus. Buahnya juga boleh dimakan, malahan, tumbuhan ini boleh digunakan sebagai syampu semulajadi! Daunnya pula mempunyai ciri-ciri antioksidan, antibakteria, dan perencat tirosinase.

Tumbuhan halia hutan mempunyai ciri yang serupa. Di Negara Brunei Darussalam, terdapat sejumlah 77 spesis tumbuhan halia yang direkodkan. Ada beberapa jenis yang digunakan sebagai hiasan, dan ada pula digunakan dalam rawatan perubatan tradisional. Satu kawasan yang kaya dengan spesis halia hutan adalah Taman Negara Ulu Temburong, di mana 46 jenis telah direkodkan hasil penerokaan Dr Axel Dalberg Poulsen dalam ekspedisi pada tahun 1991-1992.

Dari lebih 1,300 spesis dalam famili halia, terdapat hanya beberapa jenis halia liar yang boleh dimakan. Halia hutan buat masa ini belum lagi digunakan dalam penghasilan produk kosmetik, namun kajian saintifik menunjukkan potensi yang memberangsangkan kerana ada kehadiran kandungan bahan-bahan aktif. Antaranya ialah kehadiran bahan aktif fenol khususnya dalam asid klorogenik yang diketahui menyokong kelembapan dan hidrasi kulit, sekaligus mampu mengekalkan rupa muda jelita.

Untuk merasai halia hutan yang boleh dimakan di Brunei, awda boleh melawat mana-mana pasar tempatan atau tamu, seperti Tamu Kianggeh. Selalunya bunga kantan dijual dalam jambakan, dan awda hanya perlukan setangkai dua untuk menambah perisa hidangan atau salad. Hiris kuntumnya dengan halus dan awda akan dapat menikmati keharumannya – dan akan memahami mengapa bunga kantan sudah sekian lama menjadi pilihan dalam masakan tempatan.

Pada 7 April 2016, Jabatan Perhutanan Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Penganugerahan Saintis Muda Alam Semulajadi Puteri Rashidah (PRYNSA) ke 18. Flora yang dipilih untuk tema tahun ini ialah Etlingera elatior, atau lebih dikenali sebagai bunga kantan.

No Comments

There are currently no comments on RENCAH & REMPAH. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment