WARISAN MARITIM

Written by root. Posted in BEST OF BRUNEI

Tagged:

Published on September 01, 2015 with No Comments

Sebuah muzium baru yang mencerminkan budaya dan sejarah maritim Brunei kini menjadi mercu tanda penghargaan negara untuk generasi terdahulu.

01

01
Picture 1 of 7

 

Pada tahun 1997, pengkaji geofizik Elf Petroleum (kini dikenali sebagai TotalFinaElf) menemui sebuah bangkai kapal di dasar laut, 40 kilometer dari pesisir pantai Brunei. Kajian awal yang dikendali oleh Jabatan Muzium Brunei serta Départment des Recherches Archeolelogiues Subaquatiques et Sous-Marines (DRASSM) melibatkan 130 orang pakar dari pelbagai negara termasuk Brunei, berjaya menemui lebih 13,000 artifak berasal dari Thailand, Vietnam, dan China di lokasi tersebut.

Penemuan ini dikenali sebagai The Brunei Shipwreck, dan ia mencerahkan sejarah maritim Brunei dengan bukti kukuh akan peranan penting negara dalam perdagangan maritim antarabangsa 500 tahun lalu. Kapal yang dijumpai itu dipercayai karam pada lewat kurun ke-15 atau awal kurun ke-16, lebih kurang 50 tahun selepas ekspedisi penjelajah China terkenal, Zheng He.

Hari ini, kebanyakkan penemuan tersebut dipamerkan dengan bangganya di Muzium Maritim Brunei Darussalam yang baru dibuka. Antara artifak yang dipamerkan adalah tembikar porselin biru dan putih dipercayai diperbuat di Jingdezhen, China yang dikenali sebagai pusat porselin dunia. Jingdezhen menghasilkan produk porselin yang digunakan oleh keluarga maharaja China, dikenali sebagai ‘Imperial ware’.

Barang-barangan berharga ini, serta artifak-artifak lain yang ditemui dari The Brunei Shipwreck, seperti gelang tangan kaca, manik, dan objek-objek diperbuat dari gading, gangsa dan besi, merupakan sebahagian dari pameran kekal di muzium ini. Objek-objek bersejarah ini menjadi bukti kepada kisah menarik perkembangan Brunei dari sebuah pelabuhan dagangan purba hingga menjadi sebuah Kesultanan yang maju pada hari ini.

Galeri-galeri lain di muzium ini turut mempamerkan pengenalan kepada Kota Batu dan pulau buatan manusia, Pulau Terendak. Pulau ini merupakan penemuan kaji purba yang berharga kerana memberikan para sejarawan gambaran lebih jelas tentang laluan dagangan penting menghubungkan Brunei dengan pedagang-pedagang Arab, Eropah dan China

Koleksi replika-replika kapal dagang dan bot tempatan turut dipamerkan di muzium ini. Juga terdapat pameran khas untuk kraftangan Brunei, termasuk kain tenunan, antara barangan tempatan yang dahulunya digunakan dalam urusniaga dengan kapal-kapal dagangan yang tiba di pelabuhan.

Pada ketika ini, sebuah pameran sementara berjudul Sailing Deep Into The Sea, sedang berlangsung. Pameran ini menonjolkan laluan Jalan Sutera maritim yang menghubungkan Brunei dan China lebih 2,000 tahun lalu, anjuran bersama Muzium Maritim Quanzhou dari China dengan Muzium Maritim Brunei. Ia melibatkan 130 barang pameran menarik – kebanyakkannya dari Quanzhou, China termasuk porselin, batu nesan, replika kapal, duit purba, serta imej-imej dan dokumen-dokumen bersejarah.

 

 

Muzium dibuka kepada umum dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari Sabtu hingga Khamis, dan 9 pagi hingga 11.30 pagi diikuti 2.30 petang hingga 5 petang setiap Jumaat. Untuk maklumat lanjut, hubungi Muzium Maritim Brunei Darussalam di talian 224 0083.

No Comments

There are currently no comments on WARISAN MARITIM. Perhaps you would like to add one of your own?

Leave a Comment